Wednesday, January 11, 2012

Penat Memerhati Citrasangka Penawar Syurga


hanya untuk tuan BEAN

Sejak kebelakangan ini saya merasa semakin sayu melihat gelagat masyarakat sekeliling. Ramai yang sedang tenggelam dalam dunia khayalan. Bersukaria dan berseronok dengan pebagai bentuk hiburan. Sebahagian yang lain menjadi sahabat setia media alaf baru sehingga lupa tanggung jawab mereka kepada masyarakat. Hidup terdorong ke arah nafsu nafsi.

Ada sebahagian lagi sanggup menghina agama sendiri atas nama keagamaan. Ini lebih parah. Menggunakan agama untuk rosakkan agama. Baik secara langsung atau tidak langsung. Sebaliknya jika berlaku kerosakan, mereka bersegera menuding jari kearah lain. Meletakkan kesalahan ke atas kepala orang lain, kebiasaannya kepada musuh mereka. Mereka tidak mahu bersama-sama bertanggung jawab dan sama-sama membaikinya.

Semua pekerjaan termasuk kerja amal perlukan upah. Kebajikan jika dihulur mesti bersertakan soalan "apa yang akan saya dapat?"

Kita telah dianugerahkan seorang pemidato hebat yang dikatakan berkarisma, petah berhujah. Malangnya hanya memetik hadis dan ayat suci untuk berseronok dan mentertawakan orang lain. Hujahannya bukan membantu memperbaiki masyarakat, sebaliknya untuk keuntungan peribadi.

Mampu memukau puluhan ribu orang sekaligus dengan kelancaran dan kelantangan berceramah, fasih, petah dan penuh bergaya. Untuk apakah anugerah ini digunakan? Hanya untuk mengeji, menghina dan memburuk-burukkan orang lain. Anehnya apabila ada orang lain mempertikaikan kata-katanya, secepat kilat dia membalas disisip bersama cercaan lucu dan disambut pula gelak ketawa orang ramai. Semua keburukan dirinya jika diperkatakan akan dianggap sebagai fitnah dan dengki manusia lain kepadanya. Terpacullah perkataan yang kurang sopan dan tuduhan.

Di sisi lain, wujud anak-anak yang baharu kenal huruf cuba mengajar orang yang lebih dewasa darinya. Tanpa rasa hormat, mengeji hina sesiapa yang tidak bersetuju dengannya. Mendabik dada bahawa dialah yang lebih tahu, lebih alim, lebih faham dan lebih warak. Akhirnya mengangkat martabat diri sendiri setaraf ulama. Menawarkan syurga kepada pengikutnya.

Cukup melemaskan.

Kemungkinan masanya sudah tiba. Kita semua sedang bergerak menuju ke satu persimpangan yang amat saya takuti sebelum ini. "Malaysia in the eye of Dajjal". Ya kita sedang dihanyutkan, dibawa arus yang sangat laju sehingga tiada berpeluang menoleh ke tebing untuk selamatkan diri. Masa juga berlalu semakin pantas. Manusia menjadi sangat sibuk, ada yang rakus dalam mencari keperluan dan kepuasan dalam kehidupan.

Bagi mana-mana pembaca yang tidak bersetuju dengan saya, saya anggap mereka bukannya bermaksud memusuhi saya sebaliknya tidak dapat memahami saya. Saya sentiasa memaafkan mereka dan kepada mereka tak perlulah memohon maaf dari saya. Mereka bersangka sebagaimana sangkaan yang ada pada diri mereka. Mereka menilai saya sebagaimana memahami kehendak mereka sendiri.  Ramai yang berilmu tetapi gagal memahami apa yang sedang saya bawa, apa yang saya junjung, apa yang saya pikul. Bagi saya itu bukan kesalahan mereka.

Keringat sudah menjadi semakin sejuk, badan terasa semakin penat dan minda pula semakin layu. Maafkan saya. Saya tidak mampu memahamkan anda semua sebagaimana yang saya faham lantaran beberapa kekangan yang wujud pada diri anda sendiri. maka saya bertawakkal, semoga Allah jua yang akan melindungi anda semua.

Memandangkan umur semakin lanjut, ada baiknya saya berihat. Tumpu kepada diri sendiri dan keluarga, bukan berarti mementingkan diri dan mengabaikan khalayak yang perlukan nasihat. Saya perlu mengubah cara atau beralih arah menghirup udara segar agar bersemangat untuk kembali semula, itupun jika diizinkan.

topeng menguasai diri

Dia, makhluk kutuk dan tenteranya sudah ada di sini. Dihadapan kita, di kiri, di kanan, di belakang, malah telah masuk ke dalam sanubari diantara kita semua. Ada di antara kita sudah pun dikuasainya. Diarak ke sana kemari menjalankan tugas mengikut kemahuannya. Melakukan sesuatu yang mungkar tetapi pada sangkaan kita sedang melakukan kebaikan. Ada diantara kita bersedia ke syurga dengan melakukan tugasan secara suka rela, bertugas tanpa bayaran. Ikhlas tetapi tersalah alamat. Mengharapkan syurga sebaliknya sedang diusung ke neraka.

Jika ada diantara anda yang sedang melakukan kerosakan sedemikian dan mendorong atau memaksa orang lain bersama anda melakukan kerosakan yang sama, saya doakan semoga dibuka pintu makrifat untuk anda bagi melihat apa yang ada disebalik penglihatan mata kasar dan sangkaan anda. Atau sekurang-kurangnya merasa jijik dengan tugasan kebajikan palsu itu.

Allah sudah tunjukkan semuanya, nyata-nyata. Namun bila hati sudah menjadi keras, mata hati akan tertutup rapat walaupun anda sangka anda seorang yang warak penuh keimanan. Belum cukup. Belum cukup hanya dengan menyangka semata-mata. Apa tanda keimanan anda? Bagimana anda pasti? Sudah disaksikan oleh seluruh jasad?

Maafkanlah saya, saya bukan orang alim jauh sekali bertaraf ulama. Saya juga bukan seorang yang warak serta penuh ilmu kitab. Saya sedar dan tahu bahawa saya hanya seorang fakir, seorang yang jahil. Entah satu murakkab atau dua, tiga murakkab pun saya tidak tahu kerana yang tahu hanyalah Dia. Saya hanya dianugerahkan untuk "tahu" sedikit cebisan dari lautan ilmu Nya.

Ramai yang masih leka dibuai ujub, riak, takbur, sombong, bongkak dan semua ini membawa manusia menuju kesesatan. Inilah dia kehidupan yang dikatakan sia-sia dan tak bermenfaat. Akibat pembawaan sebeginilah menyebabkan kita gagal mengesan kehadiran Dajjal. Dia tak perlu datang bersama jasad. Itulah keistimewaannya. Dia superhuman. Immortal. Tajam penglihatan. Genius dan banyak lagi kelebihannya yang diizinkan Allah untuknya. Tak tahu bagaimana saya boleh gambarkan, nanti ada yang kata saya tak siuman. Senang cakap, wakilnya (wali Dajjal) sahaja pun kita tak mampu hadapi, kita tewas tersungkur tanpa sedar.

Terlalu nyata kehadirannya, memang nyata penzahiran di hadapan mata. Tersihir dan tersilau mata manusia apabila cuba memandangnya. Jika tidak berlaku sangka-sangkaan bukalah fitnah Dajjal namanya. Penglihatan manusia terhadapnya menjadi terbalik. Baik disangka jahat dan jahat disangka baik. Mulia dianggap hina dan hina bertukar jadi mulia. Berilmu disangka jahil sementara yang jahil dianggap berilmu. Oh ya, mungkin membosankan pula. Cukuplah setakat itu.

Mujurlah Allah memberi kesempatan kepada saya mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh orang ramai, kecuali mereka yang Allah izinkan. Maka dapatlah mengelak dari musibah ciptaannya. Alhamdulillah.

Sayu dan sedih melihat kerosakan jiwa-jiwa yang telah ditawan dan dikuasai mereka (Dajjal, wakil, agen dan tenteranya) tetapi apa daya saya yang lemah ini, saya hanya dapat memandang dengan penuh hiba. Tidak bermaya untuk menghalang atau sekurangnya menyelamatkan seorang dua. Mungkin bukan tugas saya, ya mungkin ada orang lain yang lebih sesuai akan menggalas tugas berat ini.

Tak perlu melawan Dajjal. Imam Mahadi yang penuh dengan karamah dan tentera fisabillillah yang penuh ilmu zahir batin juga tidak mampu menewaskannya. Itu adalah ketetapan. Jika ada sesiapa berani berfikir untuk berhadapan dengannya, pasti akan ditawan dan menjadi hambanya. Apa yang perlu dilakukan ialah lari dari aura yang dia bawa. Hindar dari fitnahnya. Jauhi agen-agen dan tenteranya. Kukuhkan iman dengan mengawal hawa nafsu.

Jangan sekali-kali terpengaruh dengan maksiat walaupun nampak tersangat lazat (Dajjal akan menghidangkan kelazatan maksiat yang tiada penghujungnya, hidup bebas seperti haiwan). Gelombang yang dibawanya akan meluntur iman sebagaimana garam hilang resap dalam air.

Ingat pesan saya, Dajjal dan walinya akan menjaja kebaikan, kebajikan, janji manis dan berbagai lagi yang syumul-syumul, sebenarnya adalah kejahatan dan tipudaya. Perawakannya menonjolkan pekerti yang baik, warak dan alim. Itu semua adalah topeng untuk menipu manusia. Fitnah Dajjal adalah sebesar-besar fitnah.

Benteng untuk menghadapinya adalah iman, bukan ilmu hukum hakam, ilmu yang berisi cerita ceriti, bukan pula ilmu saduran copy paste dari kitab-kitab.  Dajjal sendiri lebih lancar dan menguasai ilmu-ilmu tersebut, Anda akan gagal jika cuba berbahas dengannya. Begitu juga wakil yang dilantiknya. Dari sini anda akan tertawan dan menjadi hambanya.

Iman bukan ilmu. Iman itu adalah hasil dari amal yang dipandu oleh ilmu. Iman akan mengisi hati insan. Hati insan sahaja yang dapat membenteng diri dengan mengesan aura yang terpancar dari institusi Dajjal atau wakilnya. Juga dapat menghalang diri dari terpalit fitnahnya yang mempunyai bau yang sangat busuk.

Kemunculan walinya (wakil) secara nyata (selepas semua topengnya terbuka dengan izin Allah) menjadikan saya kaku dan terkedu. Memang hebat. Gerun dan Menakutkan walapun orang lain tidak nampak malah ada yang menyanjung dan hormat kepadanya. Saya menjadi sangat takut. Saya menangis memohon pertolongan Allah. Saya bagaikan hilang semangat. Sedih bukan kepalang, bagaimana nasib anak cucu saya nanti?

Saya berfikir, berfikir sepanjang malam merenungi apa sebenarnya semua ini. Saya cuba amati. Ada benarnya, Allah tidak memilih saya untuk tugasan menyelamatkan mangsa yang terpedaya itu. Saya telah mencuba sedaya upaya tetapi tidak menunjukkan sebarang hasil. Baharulah saya faham, jiwa manusia-manusia ini sudah menjadi semakin liat. Fikiran mereka pula terperosok dalam agenda munafikin dan penebar fitnah secara tersusun kemas. Akal mereka sudah dikawal.

Hanya beberapa orang, tidak ramai. Membayangkan bahawa mereka faham apa yang saya cuba ketengahkan. Mereka yang lain menuntut bermacam-macam syarat. Ada yang mahukan bukti nyata di depan mata, ada yang meragui kerana tidak dibentangkan nas itu dan nas ini. Ada juga yang memaksa saya berhenti menyampaikan semua ini hanya kerana bertentangan dengan apa yang mereka faham. Ada yang sanggup meludah.

Kepada mereka ingin saya bertanya, tahukah anda alQuran itu boleh ditafsirkan 9 wajah? 9 wajah mengikut keupayaan tahap pengetahuan dan ilmu dari anugerahNya.

Ramai juga yang kelihatan bijak berbicara, kelihatan penuh hikmah, lancar berhujah penuh ilmu. Malangnya mesej saya yang cukup ringkas dan mudah ini pun mereka tidak dapat fahami. Malah ada diantaranya lebih sinis menganggap saya menjadi agen kepada sesuatu badan tertentu yang mereka tidak sukai. Saya diludah kerana menyangka saya bersepakat dengan musuhnya.

Maaf, saya bukan hamba kepada sesiapa kecuali hamba Dia satu-satunya. Hidup dan mati saya akan saya abdikan untuk Nya semata-mata. Walaupun begitu, saya sangat sedih kerana gagal membantu sahabat dan rakan saya termasuk anda semua dari serangan Dajjal Laknatullah dan wakil (wali Dajjal) dan agen-agennya.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, mungkin ini bukan tugas saya. Ada insan lain yang lebih ampuh dan berkemampuan untuk tugasan tersebut. Saya doakan semoga Allah memberkati anda sekelian dan menyelamatkan anda semua dari menjadi makanan Dajjal.

Saya memohon ampun dan maaf kepada saudara saudari semua. Blog ini insyaAllah ada yang menguruskannya kelak. InsyaAllahi Taala.

Terserahlah kepada mereka yang sudi panjangkan hayat blog ini. Kalau ada rezeki, saya akan kembali lagi menemui saudara saudari.

Izinkan saya berehat.

Wassalamualaikum warahmatullahi Taala Wa Barakatuh. Selawat serta salam ke atas jiwa dan rohani baginda bapa segala jasad, Saidina Adam AS . Selawat serta salam kepada Kekasih Allah yang juga Cahaya atas segala Cahaya, Junjungan yang mulia baginda bapa segala Roh, Saidina Muhammad SAW.

Maafkan saya dan saya mohon diri semoga berjumpa lagi.

 - ABATASA



p.s Jangan salah faham... ini bukanlah saya atau sahabat saya


11 comments:

  1. Assalamualaikum

    'total consciousness' hanya dapat dijangkaui dengan penyerahan sepenuhnya jiwa, raga dan hati kepada Allah.

    Ramai yang tak sedar apabila mereka menilai, membicarakan dan menghukum sesuatu/seseorang, mereka sebenarnya menggalakkan sikap2 negatif merebak ke dalam hati.

    sikap2 negatif seperti buruk sangka, benci, marah, fitnah, dengki, angkuh, takbur, sombong dan banyak lagi makhluk2 yang mengotorkan hati nurani.

    bertambah2 lagi apabila mereka redha dengan dosa2 ini dengan mengatakan 'takpa'. Membuang rasa bersalah daripada perlakuan dosa adalah satu sesat yang nyata.

    Seolah-olah mereka pertahankan sikap2 yang berdosa ini sebagai amalan harian tanpa berfikir dan munasabah diri. Kerana apa? biasanya politik.


    usaha saudara yang sangat saya kagumi ini adalah bertitik tolak dari sikap 'mukhlis' (InsyaAllah) di dalam hati yang mana keikhlasan terus kepada Allah SWT tanpa dicemari perantaraan seperti politik dsb.


    Janji Allah SWT kepada Iblis yang lebih kurang maksudnya, iblis ( dengan izinNya ) akan dapat menyesatkan anak cucu Nabi Adam hingga kiamat kecuali hambaNya yang 'mukhlis'.


    Dengan satu pandangan dan ulasan terus lansung kepada Allah SWT yang menitik beratkan hati nurani kita, adalah satu pendedahan yang sikit benar dilakukan pada masa sekarang.

    Memang benar janji2 Allah yang menyatakan bilangan mereka yang benar adalah amat sedikit.

    Ramai yang sangat2 mementingkan kesan di dunia tanpa memikirkan setiap patah kata, perbuatan dan detik hati kita di dunia ini akan dipersoalkan satu persatu di depanNya di hari kemudian.

    terima kasih kerana saudara berjuang. Harap tidak putus asa. saya sentiasa berdoa dan berharap muslim di tanah air kita dan bangsa kita akan berubah.

    InsyaAllah

    ReplyDelete
  2. Setiap perjalanan ada permulaan maka setiap ya berlaku pasti ada akhirnya. Yakinlah pada janji Allah swt dan apabila datang yang haq maka yang batil akan pergi dengan sendirinya. Itu janji Maha Agong dan tiada makhluk yang mampu merubah apa yang telah ditetapkan. Saudara, bersabarlah kerana disebalik kesusahan ada kesenangan dan disebalik kekalahan ada kemenangan. Apa jua rencana mereka yang pasti rencana Allah maha hebat. Kesedihan saudara didengari dan masih ada yang berserta untuk kemakmuran hakiki. Yakinlah wahai saudara ke, kemenangan telah pasti untuk hak. Saya sekadar mampu berkata...Kesabaran adalah pakaian kita dan pasti berilah kemenangan. Salam dari..Musafir

    ReplyDelete
  3. AsSalam,sdr Abatasa
    Tugas kita hanya menyampaikan kebenaran.Meskipun pahit dan kita mendapat susah atau sedih kerananya.Setakat yang kita termampu dan diizinkan oleh Allah.Moga-moga dinilai sebagai ibadah untuk bekalan ke akhirat sana.
    Hidayah itu milik Tuhan, Dialah yang berhak mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.lambat laun atau tidak sama sekali.kita juga mesti memohon agar ditetapkan iman dan dikekalkan hidayah itu pada diri kita.Kesabaran Rasulullah SAW terhadap penduduk Taif yang melempar batu kepada baginda, akhirnya seluruh penduduk Taif Islam sesudah itu.
    Orang yang berjuang pasti diuji.Rasulullah SAW sudah lama tangiskan nasib ummatnya diakhir zaman.Baginda mengambil tanggungjawab kenabian meskipun sesudah kewafatan Baginda. Apakah kita tidak bangga, kita masih ada Nabi.Bukan jasad baginda yang datang tetapi salinan peribadi merangkap wakilnya yakni Imamul Mahdi dan Putera Bani Tamim.Penyelamat pasti datang. Itu janji Allah yang telah dinukilkan dalam ribuan hadis. Malah kita juga sedang menanti kedatangan seorang lagi penyelamat bertaraf Nabi dan Rasul yakni N Isa AS.Dalam tempoh menunggu, kita berada diposisi masing-masing.membuat persiapan untuk menghadapi peristiwa-peristiwa besar diakhir zaman ini.Tuhan tidak akan biarkan musuh bermaharajalela selama-lamanya. masanya sudah hampir tiba.

    ReplyDelete
  4. harap tuan teruskan usaha ini....masih ramai yang dahagakan informasi dari tuan... kerana kami sentiasa mengikuti blog tuan yang penuh pendedahan...

    informasi tuan sebenranya jugak telah merubah pandangan saya sblm ini yang mana keliru dgn fitnah dunia akhir zaman ini....

    tuan tidak keseorangan sebenarnya...kami dalam diam mengikuti nukilan tuan di blog tuan walaupun ade sebahagian yg mengikuti blog tuan tidak bersetuju...jangan patah semangat tuan...teruskan perjuangan murni ini...

    ReplyDelete
  5. salam abatasa, bnr spt kt anon di atas....masih ramai lg yg mengikuti penulisan saudara, hrp trskan menulis spt biasa. bg sy penulisan saudara bersifat general, tdk pernh menyentuh peribadi sesiapa pun. x perlu ambil ht dgn perlakuan spt meludah, mengejek dsb. jk mereka selesa dgn sifat bgt, biarkan shj, mgkn 1 hari mrk akan sedar, bapa sy selalu pesan, jgn bergaduh dgn org jahil, kiter sendri akan jd lebih jahil nanti. tp dy alu-alukan utk saudara berehat utk menenangkan minda disamping mencari ilham dan mendapat petunjuknya. wassalam

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum...

    bemula segala puji itu bagi Allah tuhan seru sekian alam...Allahummasolli ala syaidina muhammad waala alihi muhammad..

    sebak diri saya membaca tulisan saudara...membaca tulisan saudara ini terasa seperti menilik apa yg berlaku pada diri saya...diasak kiri dan kanan oleh saudara seagama...kekadang tertunduk malu dan kecewa diherdik dikhalayak ramai oleh golongan yg tidak nampak kebenaran "semasa"...apa yg mereka nampak ialah golongan yg "mempamerkan" kealimannya, golongan kulit, golongan kaca!...

    Gah dgn slogan Islam..Gah dgn panji2 islam..Jika benar mereka disisi Allah, jika benar mereka menyemarakkan agama Allah pada waktu ini seperti yg dilaung2kan...ingin sy bertanya.. berapa ramaikah berjaya mereka islamkan org bukan islam di Malaysia pada masa ini??...seperti yg dilakukan oleh org2 terdahulu pada tahun 60an,70an,80an???...malah terlalu kurang org islam yg hendak murtad ketika itu...tetapi kini.. semakin kuat laungan islam(kononya)mereka.. bertambah ramai yg hendak murtad..seperti yg berlaku baru2 ini..

    mereka tertipu kerana "memanjakan" akal mereka sendiri...padahal bagi golongan mereka yg mendapat petunjuk Allah tidak sekali2 terpesona dgn akal sendiri...kerana ia adalah satu "penyakit"!!...

    sy dapat rasakan saudara adalah tergolong didalam mereka yg disebutkan oleh hadis ini..."takutlah kamu pada tilikkan org mukmin...kerana sesungguhnya dia melihat dgn cahaya Allah"....

    benar seperti komen diatas terlalu sedikit golongan seperti ini....sperti zikir yg dibawa oleh ulama salaf ini "allahumajaalni minal kholil(Ya Allah masukkan aku golongan yg sedikit)" dibacakan 100 pagi dan 100 petang.....

    teruskan perjuangan makrifah saudara...kami sentiasa menyokongnya serta menjadi rujukkan kami...walaupun kami jarang menghantar komen di sini...sekurang2nya saudara berjaya "mengusik dan menzahirkan saka hijab" yg ada pada diri mereka...ini terbukti dari penzahiran komen2 mereka...

    salam kota Muhammad..
    tidak terhenti dimana2 langkahan..

    ReplyDelete
  7. salam, sy rasa saya faham maksud anda :) terime kasih segalanya sudah jelas,RAHSIA demi menyelamatkan DIA :D alhamdulilah.tak sia2 mengkaji konspirasi DUNIA selama ini hehe. mood happy dan stanby corak yg seterusnya akan menyusul !

    ReplyDelete
  8. hrmm..memang murni niat blog ni..tak dapat dinafikan lagi..apa kata slepas ni kita sama2 berjuang mewujudkan kampung islam seperti yg dicadangkan Syeikh Imran Hossein..perkara begini amat sukar..tp kalau tak buat perkara bgini ..org yg tak faham dengan tulisan blog ni takkan faham selamanya kerana ilmu tanpa amal tak akan nmpk kesannya pada diri kita dan masyarakat amnya..

    ReplyDelete
  9. kita serahkan diri yg bernama murid ini kepada Murabbi yg membimbing, dari Habibuhu Rasul SAW yang tidak pernah berbohong, membawa kita kepada Allah... Cantikkan?

    ReplyDelete
  10. Assalamua'laikum...

    Saya tak pernah nak komen kat blog saudara sbb kurang ilmu nak mengomen..:D selama ini saya hanya jadi pembaca yang setia sahaja.. tp apa yang saya nak nyatakan kat sini blog saudara penuh dengan informasi.. setiap hari saya menunggu kalau ada posting saudara yang terbaru... hope saudara akan meneruskan perjuangan... mata pena sememangnye lebih tajam daripada mata pedang sbb itulah ramai yang terasa kot... hope saudara lebih tabah dan sabar dalam meneruskan perjuangan ni.. saya teringin nak tahu siapa yang saudara maksudkan di atas..

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum. setelah sekian lama saya menjadi'silent reader' akhirnya posting ini menggamit saya untuk merakam sepatah dua kata. Ucapan terima kasih kerana selama ini saudara sudi berkongsi ilmu engan kami selama ini. penulisan saudara saya angapkan sebagai tazkirah untuk peringatan pada saya sehari-hari. blog saudara adalah satu kemestian untuk saya kunjungi saban waktu agar saya sentiasa dipenuhi denganilmu dan nasihat. apa-pun,semoga Allah memudahkan segala urusan saudara InsyaAllah.
    -ct-

    ReplyDelete

artikel menarik sepanjang masa

Total Pageviews