Pages

Monday, August 1, 2011

Rehat dan Bersenang-senang



Ramadhan bulan yang dipenuhi "keberkatan" adalah bulan REHAT bagi umat Islam. Ramai juga yang keliru dan tidak memahami ungkapan ini. Rehat juga bermaksud bersenang-senang, tiada kepayahan, tenang dan selesa. Fenomena pada hari ini tidak lagi menggambarkan situasi tersebut kerana bulan Ramadhan telah tidak mempunyai sebarang kelainan dari lain-lain bulan sepertimana selayaknya.

Tidak dinafikan, Ramadhan adalah bulan yang cukup penting dalam kalendar Islam. Ia juga dikenali sebagai bulan pembersihan diri dari noda dan dosa. Kita wajar lupakan apa sahaja hal berkaitan dengan keduniaan terutama yang bersifat negatif. Lupakan perbezaan antara kita supaya dapat kita tumpukan kepada agenda yang lebih besar iaitu memerangi hawa nafsu yang sekian lama menghuru harakan hidup kita.

Bersih kali ini amatlah dituntut. Bertepatan pula peristiwa "BERSIH" yang berlaku dalam negara kita sedikit masa dahulu. Lupakan bersih yang itu, dan capailah bersih yang ini. Pastikan kali ini musuh dapat dibersihkan sebersih-bersihnya sebelum mencapai "fitrah".

Saya masih ingat ketika saya masih kanak-kanak, kehidupan ramadhan sangatlah jernih dan bahagia. Seluruh ahli masuarakat berusaha menghidupkannya dengan mengenepikan soal keduniaan. Saling membantu dalam hal kebajikan.

Pada ketika itu jenerasi tua memberi bimbingan kerohanian kepada jenerasi yang lebih muda. Saya pernah dimaklumkan bahawa kehidupan masyarakat Melayu suatu masa dahulu amatlah ternanti-nanti kedatangan bulan berkah ini. Tidak sabar menantikan kahadiran Ramadhan dan bersedih hati bila berada di penghujungnya. Aneh tetapi benar.

Pada masa lalu (sebelum negara ini merdeka dan juga pada zaman-zaman sebelumnya), masyarakat Islam negara ini menjalani kehidupan penuh kenikmatan dan harmoni sepanjang Ramadhan. Rata-rata orang Melayu ketika itu hidup bertani dan hanya sedikit sahaja yang bekerja makan gaji.

Pada bulan ini, mereka memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah dan menguruskan kehidupan lain secara ala kadar. Setelah sebelas bulan mereka bekerja, pada bulan ini mereka bercuti dan kaum lelaki kebanyakannya bermukim di masjid dan surau untuk iktikaf pada siang dan selakukan sunat tarawih dan lainnya pada waktu malam. Berjaga malam (Qiamul Ramadhan) beramal membaca alQuran dan berzikir dengan penuh khusuk.

Jika ditakdirkan menjadi rezeki mereka, mereka akan mendapat hadiah yang tidak ternilai harganya iaitu Lailatul Qadar. Betapa bahagianya mereka yang berjaya mendapat rahmat Malam Penuh Hikmah ini. Segala dosa mereka terlucut dan doa mereka dimakbulkan Allah SWT.

Disiang hari mereka merehatkan perut dari makanan dan memelihara pancaindera mereka dari perkara haram dan subhah. Tidak berbual kosong atau berkata sia-sia jauh sekali dari berkata dusta dan fitnah. Fikiran mereka dikosongkan dari "ghairullah" atau dengan kata mudah "dunia dan seisinya". Semuaya telah direhatkan sepenuhnya.

Wajah mereka sentiasa tenang, disinari cahaya serta berseri-seri penuh keimanan. Sering berkumpul disudud masjid membincangkan soal agama dan dibantu oleh para alim ulama.

Seluruh penduduk bergilir-gilir menyediakan makanan untuk mereka yang iktikaf dan yang bermukim di masjid atau surau. Kini ia dikenali sebagai "Moreh". Itulah makanan mereka dari berbuka hingga sahur. Bersedia menerima apa sahaja yang disajikan. Redha dengan rezeki mereka.

Segalanya direhatkan. Jiwa dan raga diserah sepenuhnya kepada Allah. Perkataan "rehat" ini amat berpadanan dengan aktiviti dan cara hidup mereka. Umat Muhammad berusaha menghidupkan Ramadhan sesuai dengan namanya bulan penuh keberkatan.

Bertepatan pula dengan solat sunat yang hanya diamalkan pada bulan ini iaitu solat sunat "Tarawih" yang tiada pada lain-lain bulan. Tarawih bermaksud duduk bersenang-senang atau beristirehat. Maksudnya solat tarawih ini ialah melakukan solat dengan senang hati dan lapang fikiran.

Sabda Rasulullah saw "Sesiapa yang mendirikan solat pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu" riwayat Bukhari.

Solat yang dimaksudkan oleh Baginda ialah solat Tarawih. Satu keistimewaan yang hanya ada pada bulan Ramadhan al Mubarak ini.

Timbul pula pertanyaan mengenai nama Tarawih ini atau maknanya "bersenang-senang".  Adakah keadaan yang wujud pada era moden ini dapat menzahirkan maksud tersebut? Adakah masyarakat Islam sekarang berupaya melakukannya dengan bersenang hati dan merehatkan minda dari hal keduniaan?

Keadaan kehidupan kaum Muslimin terdahulu itu sudah tiada lagi dalam masyarakat moden hari ini. Inilah antara fitnah zaman yang terpaksa telan oleh umat Islam hari ini. Ditambah pula penghayatan agama yang longgar serta kurang ilmu. Mengagungkan peradaban dan kemodenan hidup ala Barat telah menjerat dan menyebabkan umat hari ini jauh tertinggal kebelakang dalam soal peribadatan berbanding masyarakat terdahulu

Ada sebahagian kecil yang masih mengamalkannya dengan tekun tetapi sebahagian besar lebih mengutamakan "keperluan dunia" berbanding "keikhlasan" beribadah pada bulan mulia ini. Ada juga yang berkerja lebih kuat pada bulan ini berbanding sebelumnya mendapatkan bekal untuk memeriahkan "hari raya". Tidak jauh bezanya dengan kaum Nesrani dan seangkatan dengannya.

Sesungguhnya mereka keliru dan hilang petunjuk setelah lemas dalam tuntutan hidup yang semakin mencengkam. Hambatan ekonomi serta persaingan mengejar kesenangan menjadi punca kepada kecelaruan tersebut. Tuntutan cara hidup sekular menambahkan lagi kekeliruan mereka. Mereka sentiasa sibuk. Bulan Ramadan bukanlah bulan "rehat" bagi mereka dan jauh dari menjadikannya bulan "bersenang-senang" atau "istirehat".

Dalam pada itu, mereka masih mengharapkan "Lailatul Qadar" datang kepada mereka tanpa mereka berusaha mendapatkannya. Suatu yang agak ganjil dalam pemikiran umat masa kini.

Perubahan fenomena ini bermula sejak negara kita ditadbir oleh penjajah Barat. Minda kita turut terjajah perlahan-lahan dan dipalingkan ke kiblat yang salah. Menerima pakai sistem anjuran mereka iaitu sekularisma dengan mengasingkan agama dari seluruh cara hidup.

Permata yang telah hilang dari masyarakat Melayu. Sesuatu yang sungguh malang.



Selamat memasuki pintu gerbang "BERSIH" sebenarnya

SALAM RAMADHAN UNTUK SEMUA

1 comment:

  1. Salam Saudaraku Atabasa..
    Dikesempatan Ramadhan yg Mulia ini sy memohon Saudara agar dptlah kiranya Saudara halalkan sebarang ketelanjuran kata2 dan pandangan sy andai saudara dapati ianya ada menyinggung pandangan Saudara..
    Mohon Maaf juga sy pinta pd Saudara2ku yg lain andai sy ada menyinggung pendapat2 Saudara semua selama kita berkongsi ruang maya ini..
    Akhir sekali Sy mendoakan akan kelapangan dan kesejahteraan Saudaraku semua dlm mengarungi Ramadhan yg mulia ini..
    Semoga perjalanan Ramadhan kita beroleh kemenangan,mudah2an..
    Assalamualaikum..

    ReplyDelete